Sunday, April 12, 2020

ISU PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM MEDIA SOSIAL SERTA CADANGAN PENYELESAIANNYA

    ISU PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM MEDIA SOSIAL SERTA CADANGAN PENYELESAIANNYA.

Dalam pada era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat semakin meningkat ekoran daripada peredaran zaman kini. Media sosial meliputi Instagram, Whatsapp, Wechat, Facebook dan sebagainya. Namun, terdapat ramai golongan daripada masyarakat yang tidak menekankan penggunaan bahasa Melayu yang betul ketika menggunakan media sosial. Mereka seperti melepaskan batok di tangga ini seakan-akan tidak kisah tentang kesalahan-kesalahan struktur, tatabahasa, ejaan dan penggunaan bahasa yang digunakan.

Antara isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial ialah penggunaan singkatan perkataan yang tidak tepat. Dalam erti kata lain, istilah ini juga dikenali sebagai bahasa sistem pesanan ringkas (SMS). Penggunaan bahasa singkatan dalam media sosial ini kebiasannya digunakan oleh golongan muda. Perkataan singkatan ini bukanlah akronim tetapi perkataan yang dipendekkan kerana proses penaipannya lebih cepat dan seolah-olah lebih mesra pengguna. Contohnya adalah dll, dgn, sbg, spt, tdk dan sebagainya. Walaupun pembacanya ada yang memahami maksud tersiratnya, namun perkataan-perkataan tersebut tidak memberi makna yang lengkap. Jelaslah bahawa singkatan perkataan ini merupakan kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang agak rumit kerana ramai yang sudah terbiasa dengan penggunaan ini.

Selain itu, kesalahan kata ganti nama dalam ayat juga menjadi isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial. Terdapat pengunaan kata ganti nama diri pertama yang apabila dijamakkan seolah-oleh membentuk perkataan baharu. Sebagai contoh, kitaorang. Perkataan itu membawa maksud perkataan kami tetapi digunakan dengan perkataan kitaorang. Begitu juga dengan kata ganti nama diri ketiga, iaitu mereka yang ditukarkan menjadi diaorang. Terdapat juga kata ganti nama diri ketiga yang salah digunakan seperti mereka digunakan perkataan dia. Contoh ayat, Atirah dan Maya mengangguk kerana dia memahami soalan itu. Kata ganti nama diri ketiga mereka digunakan apabila orang pihak ketiga itu bilangannya ialah dua atau lebih orang, maka akan digunakan perkataan mereka. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa dalam media sosial dan juga percakapan harian kita, kata ganti nama diri menjadi isu penggunaan bahasa Melayu.

Seterusnya, terdapat kesalahan tatabahasa yang jelas boleh dilihat di dalam media sosial. Antaranya ialah kesalahan ejaan, penggunaan ayat dan penggunaan perangkai ayat atau penanda wacana. Sememangnya memang terdapat banyak kesalahan ejaan dalam komunikasi dalam media sosial. Kadang-kadang perkara itu dianggap biasa dan diambil mudah oleh orang lain tanpa membetulkannya. Contohnya seperti Ramli membuat bangkai gambar walhal sebenarnya perkataan asal bingkai. Hal ini bukan sahaja kesalahan daripada segi ejaan tetapi juga membawa makna yang berbeza. Dalam pada itu, penggunaan singkatan juga merupakan salah satu kesalahan ejaan. Hal ini bukan sahaja memberi kesukaran untuk membacanya, malah untuk memahami apa-apa yang hendak disampaikan itu adalah sukar khususnya kepada golongan tua. Benarlah di sini bahawa, penggunaan kesalahan ejaan membawa kepada isu penggunaan bahasa Melayu.

Akhir sekali, penggunaan tatabahasa yang tidak betul menjadi isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial. Terdapat kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh kesalahan penggunaan apa, mana dan bila yang sering digunakan dalam ayat. Sebagai contoh ayat, Rafiq menurut apa sahaja yang ingin disampaikannya. Dalam ayat ini, kata tanya apa tidak sesuai digunakan dan perlulah digantikan dengan apa-apa. Begitu juga dengan mana­ perlulah digandakan untuk menggunakannya dalam ayat penyata seperti contoh ayat, Mana-mana program yang akan diadakan bermula esok akan dibatalkan serta merta disebabkan penularan kes Covid-19. Kata tanya bila pula sering digunakan dalam ayat penyata. Contoh ayatnya ialah, Kita sepatutnya bersukur kerana bila kita susah, masih ada orang yang ingin membantu. Dalam ayat tersebut, perkataan bila tidak boleh digunakan kerana bukan ayat tanya. Sebenarnya, perkataan yang sesuai diguanakan bagi menggantikan bila ialah perkataan apabila. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa terdapat penggunaan kata tanya yang salah dalam ayat yang menjadi isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial.
        
Antara cadangan-cadangan yang boleh dilakukan bagi mengatasi permasalahan penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial ialah melalui peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam hal ini, DBP boleh bekerjasama dengan pihak media bagi menganjurkan program yang bertemakan bahasa kebangsaan. Sebagai contoh, Kempen Melestarikan Bahasa Kebangsaan. Sememangnya permasalahan bahasa rojak, bahasa slanga, bahasa sms dan sebagainya sukar dibendung disebabkan faktor realiti sosial kini. Namun, dengan inisiatif daripada program-program yang dianjurkan ini bahasa Melayu dapat bertahan sebagai budaya bahasa yang tinggi.
        
Seterusnya, mempergiat penguatkuasaan bahasa Melayu boleh dilakukan bagi membendung masalah penggunaan bahasa Melayu ini. Bahasa-bahasa kesat atau lucah dijadikan sensitive item dan tidak dipaparkan pada khalayak umum. Mekanisme penguatkuasaan dan tindakan perlu dilakukan dan dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan dianggap serius oleh semua pihak. Hal ini juga akan memperkukuh darjat dan martabat bahasa Melayu tersebut. Jelaslah dengan penguatkuasaan bahasa melayu dapat mengatasi isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial.
        
Akhir sekali, peranan ibu bapa dalam penerapan bahasa Melayu kepada anak-anak juga penting. Apabila ibu bapa tidak menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya dalam percakapan, anak-anak juga akan mengikut teladan ibu bapa mereka. Seperti peribahasa mengatakan sebagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa mestilah mendidik anak-anak dengan perkataan-perkataanyang baik sejak daripada kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
        
Kesimpulannya, terdapat pelbagai isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial disebabkan arus pemodenan yang kian rancak. Walau bagaimanapun, pelbagai langkah dan cara boleh dilakukan bagi mengatasi isu-isu ini. Oleh itu, bahasa Melayu wajarlah menjadi bahasa yang utama kerana nilai bangsa ditentukan oleh nilai bahasanya yang tersendiri.



RUJUKAN


Maslida Yusof. (2018). Trend Ganti Nama Diri Bahasa Melayu dalam Konteks Media Sosial. Jurnal Komunikasi, Jilid 34(2):36-50, [Online]. [Diakses pada:13 Mac 2020]. Boleh didapati daripada: https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=http://journalarticle.ukm.my/12241/1/19733-78631-1-PB.pdf&ved=2ahUKEwiS6oSGlp3oAhUMVH0KHQDgAh0QFjAAegQIBRAB&usg=AOvVaw0T8QwzBagpFfNN6QutyPje

Oliver Patrick. (2018, Mei 29). Penggunaan Bahasa Melayu di Media Sosial. Didapatkan                 dari http://aplikasikomputerbm.blogspot.com/

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih cik atas karangan ini. Teruskan memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa utama negara kita.

    ReplyDelete