ISU PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM MEDIA SOSIAL SERTA CADANGAN
PENYELESAIANNYA.
Dalam
pada era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, penggunaan media sosial
dalam kalangan masyarakat semakin meningkat ekoran daripada peredaran zaman
kini. Media
sosial meliputi Instagram, Whatsapp, Wechat, Facebook dan sebagainya. Namun,
terdapat ramai golongan daripada masyarakat yang tidak menekankan penggunaan
bahasa Melayu yang betul ketika menggunakan media sosial. Mereka seperti
melepaskan batok di tangga ini seakan-akan tidak kisah tentang kesalahan-kesalahan
struktur, tatabahasa, ejaan dan penggunaan bahasa yang digunakan.
Antara isu
penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial ialah penggunaan singkatan
perkataan yang tidak tepat. Dalam erti kata lain, istilah ini juga dikenali
sebagai bahasa sistem pesanan ringkas (SMS). Penggunaan bahasa singkatan dalam
media sosial ini kebiasannya digunakan oleh golongan muda. Perkataan singkatan
ini bukanlah akronim tetapi perkataan yang dipendekkan kerana proses penaipannya
lebih cepat dan seolah-olah lebih mesra pengguna. Contohnya adalah dll,
dgn, sbg, spt, tdk dan sebagainya. Walaupun pembacanya
ada yang memahami maksud tersiratnya, namun perkataan-perkataan tersebut tidak
memberi makna yang lengkap. Jelaslah bahawa singkatan perkataan ini merupakan
kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang agak rumit kerana ramai yang sudah
terbiasa dengan penggunaan ini.
Selain itu,
kesalahan kata ganti nama dalam ayat juga menjadi isu penggunaan bahasa Melayu
dalam media sosial. Terdapat pengunaan kata ganti nama diri pertama yang
apabila dijamakkan seolah-oleh membentuk perkataan baharu. Sebagai contoh, kitaorang.
Perkataan itu membawa maksud perkataan kami tetapi digunakan dengan
perkataan kitaorang. Begitu juga dengan kata ganti nama diri ketiga,
iaitu mereka yang ditukarkan menjadi diaorang. Terdapat juga kata
ganti nama diri ketiga yang salah digunakan seperti mereka digunakan
perkataan dia. Contoh ayat, Atirah dan Maya mengangguk kerana dia memahami
soalan itu. Kata ganti nama diri ketiga mereka digunakan apabila
orang pihak ketiga itu bilangannya ialah dua atau lebih orang, maka akan
digunakan perkataan mereka. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa dalam
media sosial dan juga percakapan harian kita, kata ganti nama diri menjadi isu
penggunaan bahasa Melayu.
Seterusnya,
terdapat kesalahan tatabahasa yang jelas boleh dilihat di dalam media sosial.
Antaranya ialah kesalahan ejaan, penggunaan ayat dan penggunaan perangkai ayat
atau penanda wacana. Sememangnya memang terdapat banyak kesalahan ejaan dalam
komunikasi dalam media sosial. Kadang-kadang perkara itu dianggap biasa dan
diambil mudah oleh orang lain tanpa membetulkannya. Contohnya seperti Ramli
membuat bangkai gambar walhal sebenarnya perkataan asal bingkai.
Hal ini bukan sahaja kesalahan daripada segi ejaan tetapi juga membawa makna
yang berbeza. Dalam pada itu, penggunaan singkatan juga merupakan salah satu kesalahan
ejaan. Hal ini bukan sahaja memberi kesukaran untuk membacanya, malah untuk
memahami apa-apa yang hendak disampaikan itu adalah sukar khususnya kepada
golongan tua. Benarlah di sini bahawa, penggunaan kesalahan ejaan membawa
kepada isu penggunaan bahasa Melayu.
Akhir sekali, penggunaan
tatabahasa yang tidak betul menjadi isu penggunaan bahasa Melayu dalam media
sosial. Terdapat kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai
contoh kesalahan penggunaan apa, mana dan bila yang sering
digunakan dalam ayat. Sebagai contoh ayat, Rafiq menurut apa sahaja yang
ingin disampaikannya. Dalam ayat ini, kata tanya apa tidak sesuai
digunakan dan perlulah digantikan dengan apa-apa. Begitu juga dengan mana
perlulah digandakan untuk menggunakannya dalam ayat penyata seperti contoh
ayat, Mana-mana program yang akan diadakan bermula esok akan dibatalkan
serta merta disebabkan penularan kes Covid-19. Kata tanya bila pula
sering digunakan dalam ayat penyata. Contoh ayatnya ialah, Kita sepatutnya
bersukur kerana bila kita susah, masih ada orang yang ingin membantu. Dalam
ayat tersebut, perkataan bila tidak boleh digunakan kerana bukan ayat
tanya. Sebenarnya, perkataan yang sesuai diguanakan bagi menggantikan bila
ialah perkataan apabila. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa terdapat
penggunaan kata tanya yang salah dalam ayat yang menjadi isu penggunaan bahasa
Melayu dalam media sosial.
Antara
cadangan-cadangan yang boleh dilakukan bagi mengatasi permasalahan penggunaan
bahasa Melayu dalam media sosial ialah melalui peranan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP). Dalam hal ini, DBP boleh bekerjasama dengan pihak media bagi
menganjurkan program yang bertemakan bahasa kebangsaan. Sebagai contoh, Kempen
Melestarikan Bahasa Kebangsaan. Sememangnya permasalahan bahasa rojak, bahasa
slanga, bahasa sms dan sebagainya sukar dibendung disebabkan faktor realiti
sosial kini. Namun, dengan inisiatif daripada program-program yang dianjurkan
ini bahasa Melayu dapat bertahan sebagai budaya bahasa yang tinggi.
Seterusnya, mempergiat
penguatkuasaan bahasa Melayu boleh dilakukan bagi membendung masalah penggunaan
bahasa Melayu ini. Bahasa-bahasa kesat atau lucah dijadikan sensitive item
dan tidak dipaparkan pada khalayak umum. Mekanisme penguatkuasaan dan tindakan
perlu dilakukan dan dirancang dengan rapi agar sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan
dianggap serius oleh semua pihak. Hal ini juga akan memperkukuh darjat dan
martabat bahasa Melayu tersebut. Jelaslah dengan penguatkuasaan bahasa melayu
dapat mengatasi isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial.
Akhir sekali,
peranan ibu bapa dalam penerapan bahasa Melayu kepada anak-anak juga penting.
Apabila ibu bapa tidak menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya
dalam percakapan, anak-anak juga akan mengikut teladan ibu bapa mereka. Seperti
peribahasa mengatakan sebagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa mestilah
mendidik anak-anak dengan perkataan-perkataanyang baik sejak daripada kecil
lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kesimpulannya,
terdapat pelbagai isu penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial disebabkan
arus pemodenan yang kian rancak. Walau bagaimanapun, pelbagai langkah dan cara
boleh dilakukan bagi mengatasi isu-isu ini. Oleh itu, bahasa Melayu wajarlah
menjadi bahasa yang utama kerana nilai bangsa ditentukan oleh nilai bahasanya
yang tersendiri.
RUJUKAN
Maslida Yusof. (2018). Trend Ganti Nama Diri Bahasa Melayu dalam Konteks
Media Sosial. Jurnal Komunikasi, Jilid 34(2):36-50, [Online]. [Diakses
pada:13 Mac 2020]. Boleh didapati daripada: https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=http://journalarticle.ukm.my/12241/1/19733-78631-1-PB.pdf&ved=2ahUKEwiS6oSGlp3oAhUMVH0KHQDgAh0QFjAAegQIBRAB&usg=AOvVaw0T8QwzBagpFfNN6QutyPje
Oliver Patrick.
(2018, Mei 29). Penggunaan Bahasa Melayu di Media Sosial. Didapatkan dari http://aplikasikomputerbm.blogspot.com/